KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengingatkan warga pendidik supaya menggunakan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah dalam menangani kelakuan luar biasa pelajar.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan, berkata pendidik harus peka dengan perubahan pelajar dan merekodkan setiap butiran untuk makluman pihak pengurusan.

Katanya, ia susulan tragedi M Vasanthapiriya, 14, yang meninggal dunia selepas cuba membunuh diri berikutan dituduh mencuri telefon gurunya, bulan lalu.

Tan berkata, pihaknya sudah menemui guru berkenaan dan suaminya memandangkan mereka adalah ahli NUTP.

"Kita dukacita dengan apa yang berlaku, namun oleh kerana kes dalam siasatan polis, NUTP berharap keadilan dapat diberikan kepada semua pihak," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Vasanthapiriya, 14, pelajar sekolah menengah di Nibong Tebal, Pulau Pinang meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya selepas cuba membunuh diri pada 24 Januari lalu kerana dituduh mengambil telefon pintar milik seorang guru.

Walaupun mangsa beberapa kali menafikan perkara itu, dia dikatakan didesak supaya mengaku.

Dalam perkembangan lain, Tan memohon penjelasan berhubung larangan guru membawa telefon bimbit ke kelas kerana kebanyakan alat bantu mengajar menjurus ke arah penggunaan gajet berkenaan.

Katanya, Kementerian Pendidikan turut mengagihkan telefon bimbit YES kepada guru di negara ini dengan tujuan meningkatkan kaedah pengajaran guru serta pembelajaran murid.

"NUTP dimaklumkan 10,000 sekolah akan dilengkapi akses internet dan platform pembelajaran maya bagi penyelesaian pembelajaran bersepadu.

"Kemudahan ini bertujuan membantu guru berkongsi bahan pembelajaran dan pengajaran berkualiti bagi pencapaian murid.

"Justeru, NUTP memohon penjelasan kementerian selain sama ada pengagihan telefon bimbit itu akan dihentikan atau sebaliknya," katanya.